The Missile Game 3D

Selasa, 2009 Disember 22

General Electric GE J85


Enjin General Electric J85 masih dikeluarkan sehingga kini


Saeqeh (bermaksud Pancaran Kilat dalam bahasa Parsi) merupakan pesawat variasi F-5E dipercayai turut dijana oleh J85
-
Kisah kehilangan enjin Pesawat Pemintas Northrop F-5E Tiger II yang didedahkan beberapa hari lalu amatlah memalukan keseluruhan rakyat Malaysia. Bagaimanapun, janji Perdana Menteri serta Menteri Pertahanan bahawa pelaku yang terlibat akan menerima hukuman agak melegakan memandangkan siasatan telah selesai dan kini dalam proses penyediaan draf pendakwaan.
-
Enjin jenis General Electric J85 sememangnya terkenal dan sering menjadi buruan pedagang pasaran gelap. Dibangunkan pada tahun 1950an dan digunakan sekitar 1960an pada asalnya digunakan untuk menjana pesawat McDonnell ADM-20 Quail, dilancarkan oleh pesawat pengebom B-52 Statofortress untuk mengelirukan sistem pertahanan udara musuh. Sehingga kini, enjin ini masih dikilangkan dan masih digunakan secara meluas diseluruh dunia. Malahan, Tentera Udara Amerika Syarikat sendiri dikatakan mahu menggunakan enjin ini untuk tempoh 30 tahun lagi atau sehingga 2040.
-
Enjin Turbojet dengan panjang sekitar 1140mm - 1270mm, diameter 457mm dan berat sekitar 180kg - 200kg mampu menjana sehingga 5000lbf tujahan telah diiktiraf sebagai enjin berkemampuan tinggi, ringan serta kos operasi dan selenggara yang rendah berbanding enjin lain sekelasnya. Faktor inilah menjadikan ianya pilihan untuk menjana pesawat seperti Northrop F-5 (dan variasi asal), Cessna A-37 Dragonfly, Saab 105, Canadair CL-41 Tutor, North America T-2 Buckeye, Fiat G-91 serta Scaled Composites Model 318 White Knight.
-
J85 turut menjadi asas kepada pembinaan enjin jet untuk kegunaan awam iaitu General Electric CJ610. CJ610 telah digunakan secara meluas ke atas pesawat executive seperti Learjet (siri 20s), Aero Commander 1121 dan Hansa Jet HFB-320. CJ700 pula merupakan penambahbaikan enjin CJ610 dengan penambahan kipas dibahagian pemprooses tekanan bagi mengurangkan penggunaan bahan api dan jet executive Dassault Falcon 20 merupakan pengguna utama.
-
Nota
-
-
1. Kes sebegini bukanlah sesuatu yang jarang berlaku malahan organisasi tentera terkenal seperti Amerika Syarikat serta Britian juga pernah mengalami perkara yang sama. Bagaimanapun, ianya perlu dibendung kerana bukan sahaja mendedahkan kelemahan peringkat pengurusan organisasi tetapi turut mencalar imej ATM seluruhnya apatah lagi tatkala pihak awam masih hangat dengan kes-kes berkaitan seperti perolehan EC725 Cougar, kebakaran KD Sri Inderapura dan penamatan perkhidmatan MiG-29N.
-
2. Kejadian ini juga merupakan isyarat kepada semua pihak berkaitan industri pertahanan seperti MIPN, KEMENTAH serta pihak industri agar meningkatkan kemampuan diri dengan setidak-tidaknya selenggaraan aset dan peralatan pertahanan pada masa kini dan hadapan perlulah dilakukan sepenuhnya dalam negara. Jika mampu dilaksana, bukan sahaja mampu mengelakkan risiko berulangnya perkara tersebut, bahkan mampu menjamin keberdikarian selenggaraan aset pertahanan disamping menjana ekonomi setempat.
-
3. Sejak akhir-akhir ini, permintaan enjin ini dalam pasaran gelap meningkat. Ini dikaitkan dengan kesanggupan pihak Iran untuk memperoleh enjin atau bahagian-bahagian enjin dengan harga yang tinggi. Iran merupakan antara pengguna pesawat F-5 (dan variasi) utama dengan jumlah pesawat sekitar 80 buah (termasuk variasi Saeqeh, Azarakhsh dan Simorgh). Sekatan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat sejak Revolusi 1979 menyebabkan Iran gagal memperolehi alat ganti pesawat. Semasa era Shah Iran, Tentera Udara Iran menerima kira-kira 160 buah pesawat Northrop F-5E/F Tiger II serta satu squadron siri RF-5E.
-
4. Turut menyumbangkan kepada peningkatan permintaan adalah para peminat dan pencipta pesawat experimental yang mengganggap J85 sebagai penjana terbaik untuk projek mereka.